New Delhi – Seorang gadis berusia 16 tahun diperkosa sebelum dibunuh dan mayatnya dibakar dalam kejadian yang berlaku di kediamannya di New Delhi, menurut beberapa laporan semalam.

Dua suspek dipercayai pernah mengganggu dan menghendap remaja tersebut ditahan berhubung jenayah kejam itu di kawasan Gandhi Nagar, timur New Delhi.

Gadis itu ditemui mati di kediamannya pada Khamis lalu, manakala siasatan awal menya­takan bahawa mangsa mati kera­na membunuh diri.

Akhbar tempatan, Hindustan Times melaporkan, bedah siasat bagaimanapun mendapati gadis itu telah dirogol sebelum dicekik.


Polis percaya mayat mangsa dibakar dalam cubaan untuk menyembunyikan bukti.

Pertubuhan-pertubuhan wani­ta mengecam pihak berkuasa tempatan dan polis di India ke­rana gagal membendung jenayah seks susulan serangan kejam terhadap wanita.

Pada hujung minggu lalu, seorang ibu dan anak perempuan remajanya diseret keluar dari kereta mereka dan dirogol beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki dekat New Delhi.

Jenayah dan serangan seksual terhadap wanita mendapat tumpuan ramai di India selepas insiden seorang pelajar perem­puan dirogol beramai-ramai dan dibunuh di dalam sebuah bas di New Delhi pada 2012.

Post a Comment

Previous Post Next Post