Alor Setar – Seorang penganggur dihukum penjara tujuh tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku salah atas dakwaan cuba merogol adik kandungnya yang berusia lapan tahun.

Lelaki berusia 23 itu membuat pengakuan sejurus pendakwaan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Najwa Che Mat.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa cuba merogol adik kandungnya di kawasan rehat tepi Sungai Raja dekat sini, pada jam 8.15 pagi, 14 Mac 2014

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azrul Abdul Rahman, mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang hadir dengan berkemeja T warna hijau lusuh kelihatan sugul sebaik pertuduhan dibacakan, sebelum membuat pengakuan bersalah.

Di Mahkamah Sesyen berasingan, tertuduh turut mengaku salah atas pertuduhan berasingan kerana merogol mangsa sama di luar rumah di Lorong Air Putih, dekat Seberang Perak, di sini pada jam 12 tengah malam, 18 Jun lalu.

Pengakuan dibuat di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah, dengan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd Nor.

Zulhazmi menetapkan 26 Julai ini sebagai tarikh menentukan hukuman, manakala tertuduh yang tinggal serumah dengan mangsa tidak dibenarkan ikat jamin. – BH Online


Post a Comment

Previous Post Next Post