Kuala Lumpur – Sekumpulan 19 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing ditahan di dua pusat hiburan di lokasi berasingan di Cheras dan Kuala Langat selepas didapati menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

Kegiatan tidak bermoral itu dibongkar Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman yang menyerbu dua premis hiburan berkenaan, malam kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Senior Asisten Komisioner Khari Ahrasa berkata, seramai 19 wanita warga asing iaitu sembilan warga Vietnam, lima warga Kemboja, empat warga Thailand dan seorang warga Myanmar berusia antara 20 hingga 30-an ditahan selepas pihaknya menerima maklumat awam.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati dua pusat hiburan itu memang menawarkan khidmat GRO sebagai teman berhibur dengan bayaran antara RM150 hingga RM180 untuk satu jam. 

“Kami mengesan GRO ini turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, dalam operasi bermula jam 11 malam itu, pihaknya turut menahan 11 individu dipercayai bertindak sebagai pekerja dan pengurus premis hiburan termasuk dua lelaki warga Bangladesh.

Khairi berkata, polis turut memeriksa 23 pengunjung premis dan merampas wang tunai RM3,810, buku catatan perniagaan, peralatan audio dan dua telefon bimbit.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua premis ini beroperasi tanpa lesen yang sah,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1963 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen sah serta menggajikan pekerja asing tanpa permit sah. – Harian Metro

Post a Comment

Previous Post Next Post