KUALA LUMPUR, 22 Jul ― Tidak sampai setahun mengambil penyanyi Adira sebagai isteri kedua, Datuk Seri Adnan Abu kini menyatakan “kesediaan” untuk menambah teman hidup.
Adnan, mesra dengan panggilan Datuk Red, membuat pengakuan itu selepas videonya memeluk pelakon Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 24, dari belakang tersebar di media sosial.
“Saya dan Ruhainies tidak ada apa-apa hubungan. Tetapi saya akui sukakan dia. Apabila saya merangkul pinggang dan kami berpegangan tangan, saya anggap dia juga mempunyai perasaan sama.
“Nak buat macam mana, tangan saya seperti ‘automatik’ pula. Ini namanya saya sendiri yang mencari ‘bala’,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.
Ruhainies bagaimanapun berasakan dirinya diperangkap apabila videonya keluar bersama Adnan tersebar di media sosial.
Katanya, pertemuan bersama Adnan, 38, semalam di sebuah pusat membeli-belah atas urusan kerja dan diiringi individu lain.
“Demi Allah, kami tiada sebarang hubungan istimewa, dia mahu berjumpa saya untuk berbincang tentang tawaran kerja.
“Cuma saya rasa diperangkap kerana gambar peluk di bahagian pinggang itu saya tidak sedar pun ia berlaku.
“Kenapa ada orang merakamkannya jika bukan tujuan untuk perangkap,” katanya seperti dilaporkan mStar Online.
Adnan berkata isteri pertama Syarifah Norshafila Hassim masih belum mengetahui kisah perhubungannya dengan Ruhainies.
Bagaimanapun, katanya, Adira, 25, sebagai isteri kedua sudah mengetahui hal itu, namun usahawan itu masih menunggu reaksi penyanyi lagu “Kekasih Teragung Dunia”.
“Saya seorang yang jujur dan akan meminta izin kepada isteri-isteri jika mahu berkahwin lagi. Lagi pun bukannya saya buat perkara yang tidak elok.
“Cuma dalam hal ini, Adira sudah mengetahui tentang hal ini kerana beberapa wartawan sudah menghubunginya.
“Cuma Datin Red yang belum tahu. Risau juga apa reaksinya,” kata Adnan kepada Berita Harian lagi.
Post a Comment