Kuala Lumpur – Polis menahan reman dua lelaki warga asing bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang lelaki berusia 47 tahun dipercayai terlibat dalam aktiviti seks ganas di Sri Hartamas pada 16 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor berkata kedua-dua lelaki, masing-masing seorang warga Pakistan dan India itu berusia 24 dan 28 tahun direman selama tujuh hari sehingga esok.
“Kedua-dua lelaki itu telah ditahan di Jalan Ipoh pada kira-kira jam 5 petang Jumaat lalu. Reman mereka akan disambung semula untuk lengkapkan siasatan.
“Sebaik kertas siasatan selesai, kita akan serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk pendakwaan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini, hari ini.
Mangsa ditemui mati terbaring dengan keadaan mulut dan kaki berikat, manakala alat sulitnya ditutupi kain dipercayai terlibat dalam aktiviti seks di sebuah kondominium di Sri Hartamas. – Bernama
Post a Comment