Shima, ketika dihubungi, mengatakan bahawa dia berharap isu video Zhariff, yang dikatakan bermain-main dengan keadaan fizikal dilahirkan tanpa kedua-dua tangan di aplikasi TikTok, tidak dipanjangkan atau menimbulkan masalah besar.
"Alhamdulillah, semalam saya sudah menghubungi Zhariff meminta maaf atas kesilapan saya yang dilakukan tanpa sengaja. Dia pun sudah memaafkan saya dan memahami situasi sebenar. Saya harap isu ini tidak perlu dipanjangkan lagi kerana semuanya sudah selesai," katanya kepada Harian Metro.
Sebelumnya, dalam video kontroversial, Shima membuat semula aksi Zhariff yang dilahirkan tanpa kedua tangan dan menggunakan anggota kaki untuk menjalankan tugas harian.
Tindakannya itu ternyata mengundang kemarahan netizen yang menyifatkan dia tidak sensitif. Bagaimanapun, video berkenaan dipadam Shima yang kemudian tampil memohon maaf atas kesilapannya yang dilakukan secara tidak sengaja itu.
Shima menjelaskan, dia tiada berniat untuk mempersenda golongan OKU seperti Zhariff dengan melakukan parodi berkenaan.
Menurut Shima, selepas itu, dia akan lebih berhati-hati menyiarkan setiap posting di media sosial agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.
"Sumpah demi Allah, saya tak ada niat nak hina Zhariff. Saya buat video itu selepas melihat video dia di TikTok dan saya tak perasan langsung keadaan dia macam itu.
"Selepas 30 minit saya muat naik video, saya terbaca komen mengenai kekurangan yang dialaminya.
Selepas saya tahu, saya terus padam video itu. Tapi selepas empat hari, ada orang kongsi video tersebut. Saya betul-betul minta maaf.
"Insya-Allah saya akan jadikan perkara ini sebagai satu pengajaran dan akan lebih berhati-hati," katanya.
Sementara itu, Zhariff melaporkan di Facebook bahawa Shima telah menghubunginya dan meminta maaf atas kesalahannya. Zhariff berkata, dia meminta pengguna internet berhenti memberikan komen atau kritikan negatif kepada penyanyi itu.
"Baby Shima sudah menghubungi saya secara peribadi untuk memohon maaf atas perkongsiannya sebelum ini. Dia juga sudah menjelaskan bahawa dia tidak menyedari yang saya tidak mempunyai tangan.
"Bagaimanapun, tidak perlu teruskan lagi kecam ke atas gadis ini. Dia terima terlalu banyak kecaman di laman sosial, di mana ia bukan sesuatu yang baik," katanya.
Sumber Harian Metro
Post a Comment