Muncul berbeza tahun ini, Rozita Che Wan, yang lebih dikenali sebagai Che Ta, mengadakan upacara kesyukuran di premis acara Aman House di Ibu Kota dengan menjemput pendakwah bebas, Ustaz Syamsul Debat.
Perkara tersebut dikongsikan Rozita menerusi sebuah hantaran di akaun Instagram miliknya untuk tatapan peminat.
“Perancangan awal nak jemput Ustaz Syamsul pada sebelah malam, tapi kerana jadualnya padat, sempat sebelah pagi saja dan petang pula dia ada kerja di Ipoh, Perak. Kami mula kenal rapat pun sewaktu dia muncul sebagai penampilan istimewa menerusi drama Janda Kosmopolitan. Malah, dia juga pernah menjemput saya dalam siri perkongsian ilmu yang dianjurkannya.”
Ibu kepada tiga orang cahaya mata ini dalam pada itu berkata bahawa dia amat menyenangi cara Ustaz Syamsul berkongsi ilmu dan nasihat.
Ketika ditanya lebih lanjut mengenai sambutan ulang tahunnya kali ini, Che Ta mengatakan bahawa dia dan keluarganya juga mengadakan upacara bertema hitam dan putih yang mewajibkan lelaki memakai sut dan wanita memakai pakaian.
Namun, ketiadaan suami tercinta, Zain Saidin turut mengundang tanda tanya dari peminat apabila tidak ada gambar pelakon lelaki semasa perayaan itu.
"Memang kawan saya pun pelik kenapa suami tak ada. Sampai ada yang ingat kami ada apa-apa ke? Zain sebenarnya terbabit penggambaran drama untuk Awesome TV. Memang tak boleh nak buat apa.”
Kini semakin menghampiri usia 50 tahun, Che Ta berkata dia hanya berharapkan agar terus diberi kudrat dan dimurahkan rezeki sentiasa serta kekal bahagia bersama keluarga tercinta.
Perkembangan lain, pelakon wanita ini khabarnya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Dia Isteriku untuk siaran TV Alhijrah.
Manakala pada hujung bulan ini, Che Ta bakal berkampung di Perlis kerana terlibat dalam penggambaran drama 13 episod berjudul Ayahanda terbitan Zeel Production.
SUMBER : Harian Metro, Beautifulnara
Post a Comment