Kecoh di media sosial semalam, viral posting Instagram story ibu kepada selebriti Neelofa, Datin Noor Kartini Noor Mohamed yang didakwa telah membuat hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor.

IG stories itu walau bagaimanapun telah dipadam beberapa minit kemudian dan Noor Kartini memberitahu yang perkara tersebut telah dilakukan oleh salah seorang pekerjanya yang menjaga akaun media sosial.

Walaupun sudah membuat permohonan dan laporan polis susulan isu tersebut, posting Noor Kartini telah mendapat perhatian Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim yang memberi ‘teguran’ melalui satu posting di akaun Instagram beliau semalam.

Posting berkenaan telah mendapat lebih 20,000 likes dari netizen yang mana rata-rata sedang hangat membincangkan mengenai isu tersebut di media sosial. 

“Saya minta maaf, saya langsung tak ada niat nak susahkan Datin…” 

Untuk kembali menjernihkan keadaan, Noor Kartini menerusi akaun Instagramnya juga telah memuat naik beberapa screenshot perbualan WhatsApp yang menunjukkan permohonan maaf daripada pekerjanya atas kejadian yang berlaku.

Pekerja terbabit juga katanya akan menerima segala keputusan Noor Kartini berhubung isu tersebut kerana ia adalah isu besar melibatkan institusi raja dan sebagainya.

Dalam pada itu, menurut Berita Harian, pihak polis kini katanya telah memulakan siasatan berhubung hantaran berbaur penghinaan kepada Sultan Johor tersebut yang melibatkan ibu selebriti, Neelofa.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung perkara itu kira-kira jam 5.44 petang semalam oleh pemilik akaun Instagram itu sendiri, Datin Noor Kartini Noor Mohamed.

Laporan dibuat berhubung paparan di Instagram peribadi milik wanita berusia 54 tahun itu yang memaparkan gambar laporan berita disiarkan TV3 bertajuk Sultan Johor Cadang Sekatan Penuh Bersasar.


“Siasatan awal mendapati hantaran dibuat seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang mengaku tersilap menggunakan akaun Instagram milik pengadu dengan membuat hantaran melalui medium ‘IG Story’,” katanya.


Anuar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.


Sumber Asal Lobak Merah

Post a Comment

Previous Post Next Post