Seorang lelaki datang berjumpa dan bercerita dengan saya. 

"Ustaz, isteri saya tak cantik. Dari dulu kawan-kawan perempuan saya semuanya cantik-cantik. Saya berkahwin dengan isteri pun sebab pada masa itu saya baru putus tunang dengan kekasih. Ibu saya yang pilih dia untuk saya. Disebabkan saya sudah berusia 30'an, saya terima sahaja isteri saya sekarang.

"Tetapi ustaz, selepas nikah saya tak nak dengan isteri saya. Maaf kata, saya tak ada selera nak tidur bersama dengannya. Saya jenis yang mementingkan kesempurnaan.

"Saya ikut pilihan ibu kerana saya tertekan pada masa itu. Sampai sekarang, sudah 3 bulan saya langsung tiada perasaan terhadapnya. Tetapi saya kasihan pada ibu dan isteri saya. Entahlah, kadang-kadang rasa nak marah saja. Saya tak suka pada dia," katanya. 

Lalu saya berkata kepada lelaki itu, "Abang mintalah pada Allah. Abang sudah bernikah dengannya. Didiklah isteri dengan iman. Jom luangkan masa 3 hari di jalan Allah dulu, belajar iman."

Dia pun mengikut saya belajar iman di masjid. Semasa di masjid, dia menangis. Hidup lama tetapi tak pernah rasa susah payah dalam kebaikan. Waktu solat, sebak. Kerana dia sudah lama tidak bersolat awal waktu secara berjemaah. Solat pun jika berkesempatan atau kadang-kadang. Dia mendengar ceramah agama sambil bergenang air mata.

Setelah beberapa waktu, dia berjumpa dengan saya semula. Dia menangis. 

"Isteri saya sudah berubah. Dia sebenarnya sangat cantik. Saya buat Ta'lim bersamanya. Saya ajak dia tahajud bersama-sama. Dia memang selalu bangun tahajud. Saya baru sedar, rupa-rupanya saya berkahwin dengan bidadari. 

"Dia sangat sempurna, saya jatuh hati padanya. Saya pernah ada kawan dengan ramai orang tetapi belum dengan bidadari. Dia wanita baik, ustaz. Saya sangat bersyukur. 

"Ada sekali itu, sedang saya baca Ta'lim, saya terpandang wajahnya. Saya rasa cantik sangat. Ketika dia sedang tidur, saya melihat wajahnya.
 "Betul ke ini isteri saya? Cantiknya isteri saya..."

"Dia jaga tahajud. Malam itu saya tahajud dan menangis. Selepas doa, saya tengok dia di belakang saya. Dia salam saya, dia cium tangan saya dan menangis dan kata, 
 "Saya cintakan abang,"

"Saya cium dan peluk dia. Kami menangis bersama. 
 "Terima kasih sayang sebab doakan abang,"

 "Saya nak bersama dengan abang selama-lamanya sampai masuk syurga," 
"Itulah pelukan dan sentuhan yang paling bermakna dalam hidup ini. Pelukan dan cinta kerana keinsafan bersama yang tercinta," katanya. 

Dia sebenarnya bahagia, cantik, indah, baik itu sebenarnya bermula dari hati kita. Ada orang yang melihat dengan mata. Dia akan mencari yang cantik dan sempurna dan tidak pernah puas. Tetapi orang yang melihat dengan hati akan menghargai isteri yang dinikahinya. 

Cuba lihat dalam ramadhan ini, siapa wanita di sebelah kita. Lihatlah wajah isteri yang penat dan lesu. Sudah 20 hari ramadhan ini mereka uruskan rumah tangga dan anak-anak. Sedangkan mereka cuma pembantu kita dalam tanggungjawab rumah tangga. Tetapi mereka pula meminta bantuan kita. 

Hakikatnya mereka bukan bidadari dan kita pula bukanlah malaikat. Tetapi mereka seolah-olah telah menjadi bidadari kita. Siang malam mereka berusaha dan menjadi bidadari buat kita. Tetapi adakah kita menjadi malaikat buat mereka? Paling kurang menjadi seorang suami yang akan memimpin dan membimbing mereka dengan cinta sehingga ke syurga. - Ebit Lew Via PIXEL MEDIA

Post a Comment

Previous Post Next Post