Islambad – Ibu kepada selebriti media sosial Pakistan, Qandeel Baloch, yang dibunuh adik lelakinya sendiri berkata, suspek mencekik kakaknya selepas diejek rakan berhubung tindak-tanduk mangsa.
“Dia (adik lelaki) membunuh kakaknya selepas diejek rakan. Mereka menaikkan kemarahannya dan berkata Baloch mencemarkan maruahnya,” katanya.
Kematian Baloch atau nama sebenarnya Fauzia Azeem, awal bulan ini, mendapat perhatian ramai mengenai pembunuhan bermaruah, sekali gus memberi desakan kepada kerajaan untuk mewujudkan undang-undang bagi mengekang jenayah itu.
Keluarga miskin itu, yang menetap dalam rumah tiga bilik dengan lantai diperbuat daripada lumpur berkata, kewangan mereka bergantung kepada Baloch dan tidak tahu bagaimana mengatasi masalah itu tanpa anak perempuannya.
Baloch juga menanggung ramai lagi saudara-maranya.
“Arwah anak yang baik. Saya sudah kehilangan kata-kata untuk membelanya. Arwah menjaga kami lebih baik berbanding anak lelaki, termasuk dalam soal kewangan.
“Arwah akan menelefon kami empat atau lima kali sehari. Jika tidak menghubungi kami kerana sibuk bekerja, beliau akan meminta maaf,” katanya.
Menteri Undang-Undang Pakistan, minggu lalu mengumumkan, rang undang-undang bagi menangani pembunuhan bermaruah dan meningkatkan sabitan rogol akan diundi di Parlimen, selepas tekanan memuncak ke atas kerajaan membendung jenayah yang kini meragut 1,000 nyawa setiap tahun.
Post a Comment