SUDAHLAH dirogol ketika sedang melancong, apa yang tak masuk akalnya ialah sebuah agensi pelancongan menawarkan pula sesi merias kuku sebagai ‘saguhati’ akibat insiden yang menimpa pelanggannya.

Itu yang menimpa Dr. Georgina Mortimer, 45, yang dirogol ketika melancong di St Lucia, Kepulauan Caribbean, Februari lalu.


Georgina dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi pelancongan serta pemilik villa yang dihuninya ketika kejadian itu berlaku.

“Saya bangun tidur mendapati diri dicekik dan dirogol oleh orang yang langsung tidak saya kenali. Saya takut dan pada ketika itu saya hanya fikir mati.

“Perogol itu mencekik saya sekuat hati sehingga sukar bernafas. Nasib baik ada seseorang mengetuk pintu bilik ketika itu membuatkan suspek panik dan melarikan diri,” katanya, menceritakan detik hitam tersebut.

Dalam percutian itu Georgina yang tinggal dalam sebuah villa bersama dua staf agensi pelancongan mengandaikan mereka sudah pun mengunci pintu utama kediaman tersebut.

“Saya sangat sedih dengan insiden yang menimpa dan sebolehnya mahu cuba halang ia daripada terjadi kepada mana-mana wanita lain di luar sana. Hidup saya musnah disebabkan olehnya,” katanya lagi.

Berikutan serangan seksual itu, Georgina telah menjalani rawatan pemeriksaan HIV dan trauma.

Ketika memberitahu kepada agensi pelancongan mengenai hal itu, apa yang diharapkannya adalah mereka membayar semula wang percutiannya sebagai ganti rugi sebaliknya dia ditawarkan sesi urutan dan rawatan merias kuku.

“Ditawarkan benda-benda itu membuatkan saya jadi marah. Seolah-olah mereka mempersendakan kejadian buruk yang terjadi kepada saya,” ujarnya lagi. – MYNEWSHUB.CC

Post a Comment

Previous Post Next Post