Bekas penyampai radio Hot FM, Shuk Sahar, memberi jaminan dia tidak akan berlaku curang lagi kepada isterinya, Rossalennah Natassiah Asshaferah.

Mengakui menyesal diatas setiap perbuatannya sebelum ini, Shuk berkata, siri kecurangannya mengakibatkan dia bukan saja dicemuh bahkan kehilangan punca pendapatan utama selain berdepan keruntuhan rumah tangga.

“Ya, sudah tentu saya memang tak akan curang lagi."

“(Kerana curang) saya jatuh terduduk, saya hilang gaji setahun dan semasa tu pulak baru berpindah rumah." 

“Siapa sangka saya kehilangan kerja tiba-tiba sedangkan dalam fikiran saya kontrak akan tamat pada 2023,” katanya.

Pemilik nama penuh Mohammad Shukri Mohamed Sahar itu ditemui pada majlis pelancaran Semooth Kafe di Plaza Wangsa Maju, Seksyen 10, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, pengacara dan pelawak itu didedahkan oleh isterinya berlaku curang buat kali kedua dengan wanita yang sama.

Ia didedahkan melalui sebuah rakaman video yang kemudian dimuat naik di Instagram.

Selepas kisah kecurangannya memanas, Hot FM menggantung tugas Shuk sebagai penyampai radio di stesen itu berkuat kuasa serta-merta pada 25 Jan sebelum kontraknya ditamatkan pada 18 Feb.

Selepas itu Shuk cuba memulihkan hubungan dengan Rossalennah termasuk menghantar rombongan ‘meminang’ untuk memujuk semula isterinya itu agar kembali bersama.

Pasangan itu kemudian kembali tinggal sebumbung.

Shuk, 35, berkata dia menghargai semangat dipamerkan Rossalennah yang sedia mempertahankan rumah tangga mereka walau dilanda badai.

Kata Shuk, dia tidak akan mampu menjadi secekal Rossalennah jika berada dalam situasi sama dan ia membuktikan kecintaan isterinya itu.

“Jika kena pada batang hidung sendiri, saya tak tahu dapat jadi sekuat dia atau tidak. Allah SWT hanya akan uji seseorang itu mengikut kemampuannya,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post